Jumaat, April 08, 2011

Tipu + Tiru = TIRUAN

Saya menemui formulasi "tipu + tiru = tiruan" apabila sejak belakangan ini isu-isu pengguna heboh dengan barang-barang tiruan.

Ya, walaupun sebenarnya isu tiru-meniru yang menghasilkan barangan palsu dan tiruan ini bukanlah baru--malah sebenarnya telah berakar umbi sejak lama--ia tetap menjadi buah mulut dan isu yang sebenarnya jika tidak ditangani bakal mendatangkan masalah yang lebih serius.

Kita sangat biasa dengan CD atau VCD [sekarang DVD] tiruan. Ini juga isu, tetapi ia hanya menjadi isu kepada pihak berwajib, pihak berkuasa dan bagi mereka yang bertanggungjawab, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Maka cerita-cerita atau isu seputar KPDNKK ini hanya dimuat dalam slot-slot berita malam dengan adegan serbuan-serbuan dan rampasan CD dan VCD palsu dan tiruan ini. Bagi pengguna atau masyarakat, CD atau VCD tiruan tidak jadi isu. Sebabnya kerana pengguna tidak berasa "terancam". Yalah, CD atau VCD palsu jauh lebih murah dan kualiti pun sepadanlah dengan harg yang dibayar. Lainlah kalau memang mereka yang benar-benar berintegriti dan mementingkan kualiti asli, mereka akan memilih CD atau VCD yang asli.

Namun, apabila barangan tiruan ini mula melibatkan makanan dan ia bakal menjejaskan kesihatan, maka pengguna mulalah akan "bising". Apabila barangan tiruan menjadi benda yang akan masuk ke mulut dan masuk ke perut dan seterusnya menjadi darah daging, maka kita pun mula prihatin.

Pada tahun ini sahaja--setakat yang saya tahu dan dengar--kita didedahkan dengan beberapa barangan tiruan antaranya alat ganti kereta tiruan, kicap tiruan, santan tiruan, telur tiruan dan air zam zam tiruan. Kalau ada lagi--saya yakin ada lagi--sila tambah. Ya, dan "orang tiruan" [kata parti pembangkang] dalam "isu video".

Persoalannya kenapa menipu dan kenapa meniru?

Menipu kerana hendak untung cepat; tanpa modal besar dan susah payah buat penyelidikan, asal nampak sama dan asal jadi, jual saja. Meniru pula kerana yang ditiru ada "nama besar dan terkenal". Biasalah, orang atau barang yang terkenal naluri manusia semua hendak menjadi terkenal dan memiliki barang yang terkenal; barang baik katakan. Dan barang baik memanglah mahal sebab kos membuatnya juga mahal. Justeru, mana tidak untung kalau barang tiruan dibuat dengan kos murah tetapi boleh dijual dengan harga yang mahal sama dengan barang yang asli.

Sebenarnya ini adalah soal hati. Bagi orang yang beragama Islam ini adalah persoalan iman. Atau dalam "bahasa tadbir urus" negara, ini persoalan integriti.

Tidak ada sesiapa dapat mengawal hati dan perasaan orang lain melainkan orang itu sendiri. Ya, kalau hatinya sudah tidak beriman, sudah tidak takut kepada Allah, manusia mana yang dia takut lagi. Dia tidak akan takut untuk menipu dan meniru kerana dia hanya ada matlamat yang dia hendak capai dan tidak peudli lagi soal hati soal iman atau soal syurga neraka atau soal hari pembalasan. Dia--pada masa itu--hanya mahu untung dan wang dengan lebih banyak yang dengan wang yang banyak itu kalau difikir-fikir balik, mampukah ia hidup dengan tenang, bahagia dan menjalani kehidupannya dengan penuh syukur dan mendapat keredaan Allah?

Dengan wang dan keuntungan hasil jualan barang-barang tiruan ini ia sebenarnya akan mencipta lebih banyak kerosakan.

Kerosakan pertama yang dilakukan ialah keruntuhan moral kerana dia sendiri sudah tidak jujur dan tidak baik. Tidak berintegriti. Tidak beriman.

Kedua, wang dan keuntungan yang diperolehi, sudah tentu haram dan dengan wang haram itu jugalah dia membiayai keluarganya. Memberi makan minum anak-anak dan isterinya; maka ia akan merosakkan keluarganya. Hidup tidak tenang, keluarga berantakan dan bermacam masalah sosial lagi.

Ketiga, masyarakat juga menjadi rosak. Jika ia makanan, maka makanan yang tiruan dengan campuran pelagai bahan kimia pasti akan menjejaskan kesihatan. Malah mungkin akan mati!

Isu tipu dan tiru ini bukan isu kecil tetapi sebenarnya isu serius kerana ia mempunyai kesan berantai dan kesan jangka panjang.

Sudah tentulah isu ini tidak akan selesai dengan hukum dan hukuman saja. Ya, hati tidak boleh dihukum, ia hanya boleh dididik dan dilatih oleh tuan yang empunya hati. Penjara? Tubuh badan boleh dipenjara tetapi hati tidak boleh dipenjara kalau tuan batang tubuhnya tidak insaf dan tidak rela pula dengan hukuman penjara itu.

Ya, Allah pun dia tidak takut, apatah lagi takut dengan penjara!

Dan, inilah kemelut akhir zaman...! Semuanya akan musnah apabila datangnya kiamat.

0 ulasan: