Sesetengah orang kata jangan dikenang-kenang lagi perkara yang sudah berlalu. Alasannya tidak guna bernostalgia dan "menyesal-nyesal" apa yang telah berlaku. Bagi sesetengah mereka yang berkata begitu adalah disebabkan katanya adalah lebih baik memandang ke hadapan dan melangkah terus ke hadapan kerana masa dan kehidupan terus berjalan.
Soalnya bagaimana hendak jadi nostalgia jika tidak bernostalgia? Bagaimana pula hendak jadi kenangan jika tidak mengenang? Dan saya tidak pernah percaya ada manusia yang waras yang melupai apa yang telah dilalui olehnya atau apa yang telah berlaku kepadanya sebelum ini. Dia tidak akan lupa dan jika pun itulah maksudnya, dia hanya "buat-buat lupa".
Argh... biarlah. Saya tidak mahu memulai catatan ini dengan set minda yang negatif. Juga saya tidak mahu berfalsafah tentang soal prinsip dan pendapat orang lain. Setiap orang berhak memiliki pendapat dan prinsip masing-masing. Pokoknya hormatilah di antara satu sama lain. Itu saja.
Saya berpegang kepada kenapa sejarah itu penting sebagaimana pentingnya mata pelajaran sejarah kekal diajar sehingga ke hari ini dan syukurlah kerana sejarahlah kita semua menjadi sebagaimana kita hari ini.
Kerana sejarahlah kita menjadi manusia Islam dan tahu tentang ilmu-ilmu keislaman. Kerana sejarah itutelah diwarisi, dilisani dan ditulis oleh orang-orang yang tidak mahu melupakan apa yang telah berlaku dan dilalui olehnya. Daripada sejarahlah kita tahu tentang Rasulullah SAW misalnya, sejarahnya, bagaimana Baginda membangun dan mengembangkan Islam. Daripada sejarahlah kita tahu tentang para Nabi dan Rasul. Argh... panjanglah cerita ini jika mahu berhujah begitu.
Biarlah... biarlah saya menulis sejarah saya sendiri yang setidak-tidaknya apabila saya memejam mata meninggalkan dunia yang fana ini, anak cucu atau saudara mara saya akan memperoleh sesuatu tentang bapa, datuk atau moyangnya kelak.
Ketika masih ingat kata-kata arwah bapa saya; "...abah tidak ada duit dan harta nak tinggal kat hang, tapi abah boleh bagi hang belajar sampai mana pun hang nak belajar, belajarlah sungguh-sungguh..." Itu adalah kata-kata keramat abah yang masih segar tersemat di hati saya.
0 ulasan:
Catat Ulasan