Sudah agak lama saya tidak menulis di laman blog ini. Bukan kerana tidak ada isu yang hendak diulas tetapi pada masa-masa tertentu rasanya lebih baik mendiamkan diri dan menjadi penonton dan pendengar sahaja.Isu politik? Terlalu banyak kalau hendak bercakap, menulis dan mengkritik tentang itu politik. Sudah ramai orang sedang bercakap dan sudah banyak cakap-cakap tentang politik. Sehingga rasa-rasanya sudah amat bosan dan muak sehingga termuntah hijau kalau mahu bercakap lagi tentang politik.
Namun, hendak buat macamana kerana itulah yang menjadi minat dan kegemaran orang kita. Ya, orang kita.
Lebih-lebih lagi dalam sehari dua ini rakyat Malaysia digemparkan (walaupun sebenarnya sudah boleh dijangka) dengan penyebaran video seks yang kononnya melibatkan seorang pemimpin parti pembangkang.
Padahal, pada pertengahan bulan Mac yang lalu kita juga digemparkan dengan tayangan video sama oleh trio yang dikenali sebagai "Datuk T" kepada sekumpulan wartawan dan bloggers.
Hai... entahlah apa yang hendak jadi dengan politik di Malaysia. Tidak habis-habis dan tidak sudah-sudah dengan sensasi dan kontroversinya.
Pada saya sebagai seorang rakyat yang kecil, memandang politik sebagai perlawanan dan pertarungan yang melibatkan fizikal, mental, emosi dan juga rohani. Politik yang difahamkan kepada saya daripada gerak tindak dan tingkah laku ahli-ahli politik atau "politikus" ialah "buat apa sahaja asalkan berjaya menjadi pemimpin, sekali gus maknanya mendapat kuasa atau "power".
Buat apa sahaja ini pula luas maksudnya tanpa sempadan halal atau haram! Buatlah apa sahaja pun, seolah-olah bagi mereka tidak ada hari akhirat dan hari perhitungan atau hari hisab.
Saya tidaklah terdidik secara formal dalam bidang ilmu keislaman. Jadi, sudah tentu jauh panggang dari api untuk saya bercakap dengan orang-orang politik yang lebih dalam dan jauh pengajian Islamnya.
Namun, sejak kecil juga saya dididik supaya menjadi orang baik. Malah saya cukup yakin semua ibu bapa mendidik anak-anaknya agar menjadi orang baik walaupun makna baik itu tidak diberikan gambaran yang betul dan munasabah. Pokoknya jadilah orang yang baik.
Apabila meningkat remaja dan menjadi belia, makna orang baik ini sekali lagi dipesongkan oleh ungkapan-ungkapan "mat belia", "budak skema" dan "ikut buku" seolah-olah menjadi baik itu adalah lurus bendul. Maka, kalau menjadi orang baik pasti akan diejek dengan ungkapan-ungkapan tersebut.
Maka, apa pun yang terjadi saya tetap mengikut cakap ibu dan ayah. Saya menerima diejek mat belia, budak skema atau ikut buku kerana saya hendak jadi orang baik. Kenapa hendak jadi orang baik, kerana Allah suruh jadi orang baik. Saya takut dengan azab neraka kalau jadi orang jahat. Itu yang difahamkan kepada saya.
Dalam pada menjadi mat belia, budak skema dan ikut buku, saya seringkali melihat "orang-orang atas" dan "orang-orang hebat" sebagai orang yang dikagumi kerana keatasan dan kehebatan mereka. Ya, mereka pandai bercakap, mereka tidak malu dan mereka hebat, kelihatan hebat. Mereka ada kuasa, mereka boleh buat apa sahaja. Mereka hebat!
Sesekali pada musim-musim mengundi (sekarang pilihanraya) mereka akan tampil lebih hebat dan cukup baik. Mereka akan menziarah orang-orang kampung, bertanya khabar, bagi beras, bagi gula, minyak masak dan mee segera. Mereka cukup baik. Maka pada saya mereka adalah orang baik.
Semua tidak lama, apabila saya semakin dewasa dan bukan lagi boleh diperbudak-budakkan, maka saya membuat kesimpulan mereka (ahli-ahli politik) bukanlah orang hebat dan bukanlah orang yang baik sebagaimana penglihatan saya pada zaman kanak-kanak.
Saya tidak boleh menerima politik yang "politikus" (ertinya licik seperti tikus) yang atas nama "strategi dan taktikal" sanggup berbuat apa sahaja sehingga tidak ada batas halal dan haram bagi mereka yang beragama Islam. Saya tambah kecewa apabila ada ahli-ahli politik yang partinya memakai nama Islam, namun gerak tindak dan tingkah laku mereka tidak pula mengikut Islam.
Disebabkan kekecewaan itulah saya terus tawar hati dengan politik dan menolak setiap ajakan agar saya berpolitik. Denan kekecewaan itu saya lebih rela berada di pihak rakyat dan saya akan terus bercakap isu-isu rakyat dan apa sahaja yang dirasai oleh rakyat.
Dengan itu saya tidak ada apa-apa kepentingan (kerana politik kalau hendak bercakap mesti mengambil kira kepentingan dirinya di sebelah pihak atau parti mana). Justeru, saya lebih bebas untuk bercakap apa saja dan kalau saya bercakap bagi pihak pemerintah atau pembangkang, saya tidak dibayar apa-apa pun melainkan kerana ingin menjadi orang baik saja dan mahu serta percaya orang lain juga ingin menjadi orang baik.
Sebenarnya ini mengulangi pendirian saya bahawa saya tidak dibayar apa-apa kalau nada suara saya berbunyi nada kerajaan. Saya juga tidak dibayar apa-apa kalau nada suara saya berbunyi nada pembangkang.
Saya hanyalah seorang rakyat yang kecil yang menyuarakan buat pemimpinnya yang berjiwa besar!
0 ulasan:
Catat Ulasan