Jumaat, Januari 21, 2011

"Touch" Tidak Selalunya "Go"; "Tag" Tidak Selalunya "Smart"

Pada petang hari Jumaat yang lalu, kesesakan teruk berlaku di plaza tol Kota Damansara menghala ke Kuala Lumpur dari NKVE. Kesesakan memang biasa berlaku di plaza tol ini baik dari Kota Damansara sendiri mahu pun menghala masuk ke Kota Damansara dari mana-mana arah.

Namun, pada petang hari Jumaat tersebut, kesesakan memang luar biasa. Dari susur keluar Damansara saja sudah sesak dan kereta tersengguk-sengguk mengikut arus kesesakan. Kesesakan di jalan raya atau lebuh raya di Lembah Klang memang biasa. Maklum saja, setiap orang akan berlumba-lumba memiliki kereta sendiri. Menumpang kereta ke tempat kerja langsung tidak amali atau praktikal seperti yang pernah kerajaan uar-uarkan dulu.

Selalunya apabila kesesakan teruk begini saya hanya memberikan tiga sebab yang biasa. Pertama, sesak kerana kemalangan, kedua sesak kerana ada sekatan jalan raya atau "road block" dan ketiga sesak kerana hujan lebat. Selebihnya kalau sesak pun biasa-biasa saja disebabkan memang kerana setiap orang sedang menjayakan kempen "satu orang, satu kereta'.

Kerana bosan dengan kesesakan lebih-lebih lagi di plaza tol, maka ramai orang memilih menggunakan kad "Touch 'n Go" (sentuh dan pergi?) dan juga "Smart Tag". Mereka tidak mahu berlambat-lambat dan tersengguk-sengguk membontoti kereta lain memasuki lorong tunai di plaza tol sama ada ketika mahu mengambil tiket atau ketika mahu membayar nilai tol.

Demikianlah teknologi telah membantu memudahkan urusan manusia. Saya juga tidak terkecuali menggunakan teknologi "Touch 'n Go" dan "Smart Tag" setelah bosan beratur setengah jam pada waktu pagi dan setengah jam lagi pada waktu petang di plaza tol hanya semata-mata hendak membayar tol yang berjumlah RM1.20.

Benar, teknologi telah membantu memudahkan urusan manusia. Baguslah begitu. Terima kasih dan tahniah atas kepintaran manusia yang mencipta teknologi "sentuh dan pergi" itu. Namun, demikian juga ciptaan manusia yang selalu lemah dan ada sahaja kekurangannya. Ciptaan manusia tidak sempurna.

Disebabkan ketidaksempurnaan itu, maka sejak akhir-akhir ini timbul pula rasa cemburu melihat lorong-lorong tunai di plaza-plaza tol lebih "lengang" dan selesa dilalui. Kenderaan tidak banyak kecuali pada musim-musim tertentu. Musim perayaan misalnya.

Walaupun pengguna "Touch 'n Go" dibenarkan melalui lorong tunai, ada kalanya penjaga kaunter tol akan mendengus dan ada kalanya pula membebel kerana terpaksa "menukar sistem" dari tunai kepada Touch 'n Go.

Di plaza tol Batu Tiga, Shah Alam dua tahu lalu saya pernah dipersoalkan hanya kerana menggunakan kad "Touch 'n Go" di lorong tunai sedangkan di plaza-plaza tol tertera kain rentang yang bertulis "TOUCH 'N GO BOLEH DIGUNAKAN DI LORONG TUNAI".

Ya, sekarang lorong tunai lebih cepat, lebih selesa dan lengang daripada lorong "Touch 'n Go" dan juga lorong "Smart Tag". Kenderaan beratur panjang di lorong "Touch 'n Go" manakala di lorong "Smart Tag" pula seringkali sangkut disebabkan "tag" yang tidak "smart" atau penggunaan yang tidak betul oleh pengguna.

Pada mulanya saya menyangkakan insiden beratur panjang dan lambat di lorong "Touch 'n Go" atau "Smart Tag" ini hanya insiden terpencil dan hanya sesekali berlaku. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset. Ia adalah "fenomena biasa" di plaza tol [terutama di plaza tol Kota Damansara].

Sungguh aneh. Pada sebelah pagi kenderaan di lorong plaza tol pasti lebih panjang barisannya di lorong "Touch 'n Go" dan "Smart Tag". Tidak percaya? Saya sudah tujuh tahun menghuni di Kota Damansara dan marilah sama-sama kita tinggal di sini untuk melalui pengalaman tersebut.

Justeru itulah, "touch" tidak selalunya "go" dan "tag" tidak selalunya "smart".

Pilihan adalah di tangan kita sendiri!

0 ulasan: