Isnin, Disember 13, 2010

Sudahlah Badan Gemuk, Duit Pula Habis Beribu-ribu

[Kemas Kini]

Pusat pelangsingan badan di arah bayar ganti rugi

[Artikel Asal]

Emak saya cukup marah jika sesudah dia menyediakan hidangan, tetamu menolak hidangan dengan alasan "diet" atau lebih tepatnya kerana ingin menguruskan badan. Atas alasan itu dia lalu berpantang makan. Ironinya dia berpantang makan setelah badannya menjadi gemuk gedempol. Padahal sebelum badannya menjadi gemuk gedempol, dia makan apa sahaja, pantang jumpa atau pantang dihidangkan!

Demikianlah perihal kita dalam bab makan atau pemakanan. Kita tidak pernah belajar untuk makan tetapi kita cukup tahu untuk makan apa sahaja. Kata orang, tolak kayu dan batu, semua yang ada kita akan "sapu". Membujur lalu, melintang sapu!

Padahal soal makan dan pemakanan amat berkait rapat dengan kesihatan tubuh badan kita. Memang di sekeliling kita banyak sekali makanan yang halal untuk di makan. Malah makanan yang halal itu pula sangat sedap belaka. Makan mengikut nafsu bukan sahaja makan bagi memenuhi tuntutan biologi tubuh badan sebaliknya makan melebihi tahap keperluan makan yang sewajarnya.

Lalu kita menjadi tidak peduli pun apa yang akan jadi kepada tubuh badan kita pada kemudian harinya. Kita makan semahu-mahunya tidak mengira masa dan tempat. Kata orang 24 jam mulut kita mengunyah dan makan.

Akhirnya apabila tubuh badan kita menjadi gemuk, maka sekali lagi kita dilanda masalah. Masalah untuk menguruskan badan atau menurunkan berat badan! Proses menguruskan badan atau menurunkan berat badan inilah menjadi proses yang sangat rumit. Tidak pula semudah kita menaikkan berat badan sehingga tubuh menjadi gemuk!

Pada ketika inilah kita sebenarnya sangat mudah terperangkap dengan pelbagai tawaran ubat-ubatan dan rawatan yang kononnya dapat menguruskan badan atau menurunkan berat badan secara lebih cepat. Pelbagai syarikat jualan pelbagai tingkat atau MLM sangat mudah mempengaruhi orang-orang yang berbadan gemuk ini dengan tawaran kononnya produk mereka dapat menguruskan badan dengan pantas dan berkesan.

Barangkali beberapa diagnosis akan dilakukan oleh pakar jualan dari MLM yang akan menunjukkan tahap kesihatan orang gemuk ini kelihatan sangat kritikal. Pelbagai penyakit akan dibentangkan dan segala macam itu dan ini yang tidak kena dengan sistem badan kita. Lalu kita akan ditawarkan mencuba produknya dengan bayaran ratusan malah ribuan ringgit!

Itu belum lagi dengan tawaran produk pelangsingan melalui pemakaian seperti korset dan seumpamanya yang kononnya dengan memakai pakai tersebut, ia dapat membakar lemak dan kalori sekaligus menurunkan berat badan atau menguruskan badan.

Itu juga belum lagi dengan tawaran pelbagai jenis kapsul, pil dan cecair yang berupa ubat-ubatan yang perlu diambil oleh orang gemuk hanya semata-mata untuk menguruskan dan menurunkan berat badan.

Dan, berapa ramai pula kita pernah mendengar tentang mereka yang mendapatkan rawatan menguruskan badan ini akhirnya menemui ajal di katil pembedahan selain mereka yang menerima kesan sampingan hasil daripada rawatan yang mereka jalani....

Padahal adakah jalan sesingkat itu untuk kembali menguruskan badan atau menurunkan berat badan?

Saya sangat tidak yakin dan percaya dengan pelbagai produk dan perawatan mengurus atau menurunkan berat badan dengan cara-cara yang saya sebutkan di atas. Mereka yang berkenaan hanya mengaut untung di atas kesilapan dan kealpaan kia sendiri yang pada awalnya tidak mahu menjaga kesihatan dan pemakanan kita sehingga kita sendiri menjadi gemuk.

Kalau badan sudah menjadi gemuk akibat "bikinan" kita sendiri, maka kita sendirilah yang perlu mengambil inisiatif menurunkan berat badan kita secara wajar dan mengikut jalan yang betul. Dapatkan nasihat pakar dan profesional. Lakukan senaman secara konsisten, kawal pemakanan dan yang paling penting semangat dan disiplin untuk menurunkan berat badan. Itu sahaja.

Kalau itu kita tidak dapat lakukan maka sudahlah badan gemuk, duit pula habis beribu-ribu ringgit!

Tepuk dada, tanya selera!

0 ulasan: