Ahad, Disember 19, 2010

"Jelajah One Malaysia" dan Nostalgia "Sure Heboh"


Kalau kita masih ingat, stesen televisyen TV3 pernah menarik balik perkataan "Sureheboh" kerana mencampurkan perkataan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris setelah menerima bantahan dan kritikan orang ramai. Karnival TV3 itu kemudiannya ditukar menjadi karnival Jom Heboh sekarang ini.

Tidak ada masalah dengan program dan pengisiannya. Isunya ialah isu bahasa. Rakyat yang kecil ini seringkali diperintahkan menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul. Apa bahasa kebangsaan? Ya, bahasa Melayu.

Kalau kita masih ingat, isu "Sureheboh" juga ialah isu bahasa. Namun, TV3 akur dan hormat dengan pandangan dan kritikan orang ramai, lalu mereka menukar "Sureheboh" menjadi "Jom Heboh".

Saya rasa pelik dengan Pemuda UMNO yang meneruskan hasrat menggunakan "Jelajah One Malaysia" sebagai nama program mereka. Adakah kerana hendak menuruti akronimnya menjadi "JOM" maka ia perlu dinamai dengan perkataan bahasa Melayu dan Inggeris. Iyalah, kalau "Jelajah Satu Malaysia" jadi JSM pula.

Namun, apakah yang bermasalah sangat dengan nama? Kalau Jelajah Satu Malaysia pun masih boleh menggunakan singkatan JOM; atau namakan saja "Jom Jelajah Satu Malaysia".

Saya bukanlah apa, cuma berasa tersinggung dengan bahasa "sekerat belut dan sekerat ular" ini. Maklum sajalah mereka itukan golongan pemimpin yang kononnya berkuasa untuk memerintahkan itu dan ini.

Jadi , kalau tidak tahu berbahasa dengan betul, bagaimana pula hendak memimpin dengan betul!

0 ulasan: