Orang politik, dek kerana kadangkala terlalu ego dan kononnya terlalu cerdik, sesekali terperangkap juga dengan ego dan "kecerdikan" mereka sendiri. Bak kata peribahasa Melayu; "sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga".Sudah beberapa hari saya sangat teruja untuk menulis tentang ini; tentang "hantu 1Malaysia". Apa hantu 1Malaysia? Untuk memahami hantu 1Malaysia kita kena faham apa dia hantu. Ya, hantu sinonim dengan masyarakat Melayu walaupun yang dikatakan hantu itu belum pernah pun dilihat seumur hidupnya. Mudahnya hantu ialah makhluk halus merujuk kepada jin dan syaitan yang dikatakan menakutkan [atau] ditakuti manusia dek kerana keseraman dan kehodohan wajahnya. Itu definisi saya. Saya tidak mahu berakademik di sini.
Justeru, hantu 1Malaysia adalah "hantu" yang juga rupanya menakutkan dan sangat ditakuti, lebih-lebih lagi oleh Kerajaan Negeri Selangor yang bertindak melarang, mengharamkan, tidak menggalakkan penggunaan logo di premis-premis di negeri Selangor! Dari segi rupa bentuk, hantu 1Malaysia ini cantik dan menarik. Ia berbentuk nombor 1 (satu) yang di dalamnya berhias bendera Malaysia.
Dalam satu peristiwa di sebuah daerah di Selangor pertengahan minggu lalu, berlaku satu peristiwa sebuah pihak berkuasa tempatan di Selangor mahu menurunkan logo 1Malaysia di sebuah premis perniagaan milik peribadi. Alasannya logo 1Malaysia itu menakutkan dan menyeramkan.
Maka, jadilah hari tersebut sebagai hari yang sangat melucukan dan ditertawakan oleh semua rakyat Malaysia. Dalam pada Pakatan Rakyat mencemuh, mencebik, menghina dan menginjak-injak gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib, rupa-rupanya di sebalik itu mereka sangat takut kepada 1Malaysia.
Ya, masakan tidak. Jika tidak sudah tentulah mereka tidak ambil kisah, tidak peduli dan tidak pusing pun tentang 1Malaysia. Lantaklah! Ini, dibentuk lagi undang-undang dan peraturan melarang logo 1Malaysia itu terpamer di mana-mana di negeri Selangor. Jadi, ketawalah anak cucu dan rakyat jelata melihat "lawak minggu ini" itu. Kah kah kah!
Apabila hal demikian menjadi kontroversi dan isu tersebut dilihat memberi "back fire" kepada mereka, kelam-kabut pula mereka bersilat dan berkuntau. Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin tiba-tiba kata larangan ke atas penggunaan logo 1Malaysia bukan kerana takut, tetapi kerana muak. Hah, lagi muak kita dengar alasan ini!
Sementara itu, exco yang berkait langsung dengan PBT pula hari ini mengatakan larangan penggunaan logo 1Malaysia di PBT-PBT di Selangor "dibekukan" dengan alasan tidak jelas logo 1Malaysia yang mana yang ada sentimen politik!
Argh, biarlah mereka bersilat dan berkuntau!
Hal ini sebenarnya tidak jauh bezanya dengan isu simplistik dalam masyarakat kita yang turut takut dan terkena sindrom "hantu 1Malaysia" ini. Saya masih ingat dan sebenarnya masih sehingga ke hari ini orang kita sensitif dengan pemakaian songkok dan kupiah. Demikian juga dengan penggunaan warna biru dan hijau!
Kalau pakai songkok, itu dikatakan orang UMNO. Kalau pakai kupiah pula dikatakan orang PAS. Saya pula selalu pakai songkok dan selalu pakai kupiah. Sesekali saya pakai baju Melayu lengkap bersampin dan bersongkok. Sesekali pula saya lengkap berjubah dan berkupiah. Adakah itu bermakna saya sekejap UMNO dan sekejap PAS?
Adakah politik kita hanya ditandai oleh songkok dan kupiah saja. Setakat itu sahajakah politik kita?
Saya dan rakan-rakan juga mempunyai masalah untuk menggunakan warna. Warna kertas, warna slide presentation dan sebagainya langsung tidak boleh menggunakan warna biru dan hijau. Kalau guna warna biru dikatakan menyokong UMNO dan kalau guna warna hijau dikatakan menyokong PAS.
Alahai, demikianlah simplistiknya cara kita berpolitik. Daripada semua ini rupa-rupanya politik kita atau cara kita berpolitik tidak lebih dari sekadar cerita tentang logo, pakaian dan warna.
Itu saja!
1 ulasan:
haha.. Dilema hanya kerana warna.. Org yg buta warna mungkin akan terselamat dari kerumitan ini.. hohoho..
Catat Ulasan