Saya tidak mahu berbahas tentang istilah. Sekadar untuk memahami, ulama' ialah orang yang berilmu [berilmu tentang ilmu dunia dan akhirat dan menguasai ilmu itu] manakala umara' pula ialah pemimpin atau pemerintah.
Di dalam negara kita [yang dikatakan "Negara Islam"] umara' atau pemimpin diletakkan ditempatnya yang betul dalam konteks punyai kuasa dan penguasaannya yang luas. Umara' bisa berbuat apa saja dengan kuasanya mengikut takluk dan peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Institusi umara' diiktiraf dan "cakapnya dipakai".
Sayang sedikit, ulama' atau orang yang arif lagi berilmu di dalam bidangnya [dalam konteks tulisan ini ialah ahli agama] mereka sepertinya tidak diletakkan di tempatnya yang betul dan wajar. Institusi ulama' pula hanya dipandang sebelah mata dan sekadar syarat sahaja institusi ulama' itu dijenamakan atau diwujudkan.
Ya, kita tidak kurang dengan isfrastruktur dan kecanggihan teknologi agama dengan pelbagai institusinya, dengan bangunan masjidnya dan pelbagai agensi keagamaannya, namun semua itu seperti kelihatan "tidak cukup" untuk memartabatkan agama Islam seperti yang diharap-harapkan.
Dalam isu meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara, kita telah mempunyai fatwa yang jelas dari Mufti yang jelas mengharamkannya. Namun, umara' atau pemimpin kita tidak ikut. Kenapa? Bukankah itu menjadi satu penghinaan kepada institusi mufti khususnya dan institusi ulama' umumnya?
Mufti juga mengharamkan rokok dan perbuatan merokok, namun sesetengah kita masih kuat merokok. Malah ada yang menganggap merokok dan meletakkan bunga di tugu itu satu perkara kecil dan bukanlah berat seperti lakunya kalau meninggalkan sembahyang.
Besar atau kecil, perkara agama bukanlah perkara yang kecil. Agama adalah perkara yang perlu dibesar-besarkan dalam kehidupan kita setiap manusia dan dibesarkan dalam setiap aktiviti yang kita lakukan. Itu adalah terasnya.
Dalam konteks bernegara, siapa yang lebih besar? Ulama' atau umara'? Dan kalaupun kita tidak mahu berpolemik tentang siapa lebih besar, tidak bolehkah wujud kesepaduan antara ulama' dan umara' seperti yang disebutkan oleh Dr. Muhammad Zainiy itu?
Kesepaduan ini boleh wujud dalam konteks umara' meminta dan menerima nasihat daripada ulama' dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama agar kemurnian agama Islam itu tetap terpelihara.
Sayangnya, kesepaduan antara ulama' dan umara' ini tidak wujud. Umara' hanya memilih fatwa-fatwa yang berkepentingan demi survival politiknya dan mengetepikan fatwa yang dirasakan merugikan survival politiknya. Dalam sesetengah keadaan, mufti sendiri pula yang dikutuk dan dihentam apabila mengeluarkan pandangan dan nasihat yang tidak selaras dengan survival politik mereka.
Pada zaman Nabi dan para sahabat, hal sebegini tidak menjadi isu kerana ulama' juga yang menjadi umara'. Mereka mempunyai ilmu agama yang kuat dan mantap serta kuat dan mantap juga dalam mengendalikan tugas sebagai umara'.
Masalahnya pada masa kini, kita tidak lagi mempunyai ulama' yang sekaligus boleh menjadi umara' walaupun ada sebuah parti yang mendakwa membawa "kepimpinan ulama'", namun "keulamakan" parti itu tidak cukup Islamnya dan tidak sejati pula Islamnya. Mereka menghalalkan maki-hamun, bohong dan fitnah serta hentam-menghentam tanpa akhlak dan nilai Islam langsung.
Jadi, bukankah ini semua adalah tanda-tanda akhir zaman?
VERSI TULISAN JAWI
| توكوه علموان اسلام، دوكتور محمد زاينيي عثمان دالم بوكوڽ "علماء دان عمراء: ڤرانن دان چابرن دالم مڠهادڤي الاف بارو" مروموسكن بهاوا "كسڤادوان ويبوا علمو ڤد علماء دڠن كواس ڤد عمراء اكن مناتيجهكن كعاديلن دالم مشاركت". ساي تيدق ماهو بربحث تنتڠ اصطلاح. سقدر اونتوق ممهمي، علماء اياله اورڠ يڠ برعلمو [برعلمو تنتڠ علمو دنيا دان اخيرة دان مڠواساءي علمو ايت] مانكالا عمراء ڤولا اياله ڤميمڤين اتاو ڤمرينته. د دالم نڬارا كيت [يڠ دكاتاكن "نڬارا اسلام"] عمراء اتاو ڤميمڤين دلتقكن دتمڤتڽ يڠ بتول دالم كونتيك س ڤوڽاءي كواس دان ڤڠواسأنڽ يڠ لواس. عمراء بيسا بربوات اڤ ساج دڠن كواساڽ مڠيكوت تعلوق دان ڤرونتوكن يڠ تركندوڠ د دالم ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان. اينستيتوسي عمراء داعتراف دان "چاكڤڽ دڤاكاي". سايڠ سديكيت، علماء اتاو اورڠ يڠ عارف لاڬي برعلمو د دالم بيدڠڽ [دالم كونتيك س توليسن اين اياله اهلي اڬام] مريك سڤرتيڽ تيدق دلتقكن د تمڤتڽ يڠ بتول دان واجر. اينستيتوسي علماء ڤولا هاڽ دڤندڠ سبله مات دان سقدر شرط سهاج اينستيتوسي علماء ايت دجناماكن اتاو دوجودكن. يا، كيت تيدق كورڠ دڠن اسفرستروكتور دان كچڠڬيهن تيكنولوڬي اڬام دڠن ڤلباڬاي اينستيتوسيڽ، دڠن باڠونن مسجدڽ دان ڤلباڬاي اڬينسي كاڬامأنڽ، نامون سموا ايت سڤرتي كليهاتن "تيدق چوكوڤ" اونتوق ممرتبتكن اڬام اسلام سڤرتي يڠ دهارڤ-هارڤكن. دالم ايسو ملتقكن كالوڠن بوڠا د توڬو نڬارا، كيت تله ممڤوڽاءي فتوى يڠ جلس دري مفتي يڠ جلس مڠحرامكنڽ. نامون، عمراء اتاو ڤميمڤين كيت تيدق ايكوت. كناڤ؟ بوكنكه ايت منجادي ساتو ڤڠهيناان كڤد اينستيتوسي مفتي خصوصڽ دان اينستيتوسي علماء عمومڽ؟ مفتي جوڬ مڠحرامكن روكوق دان ڤربواتن مروكوق، نامون سستڠه كيت ماسيه كوات مروكوق. ماله اد يڠ مڠڠڬڤ مروكوق دان ملتقكن بوڠا د توڬو ايت ساتو ڤركارا كچيل دان بوكنله برت سڤرتي لاكوڽ كالاو منيڠڬلكن سمبهيڠ. بسر اتاو كچيل، ڤركارا اڬام بوكنله ڤركارا يڠ كچيل. اڬام اداله ڤركارا يڠ ڤرلو دبسر-بسركن دالم كهيدوڤن كيت ستياڤ مأنسي دان دبسركن دالم ستياڤ اكتيۏيتي يڠ كيت لاكوكن. ايت اداله ترسڽ. دالم كونتيك س برنڬارا، سياڤا يڠ لبيه بسر؟ علماء اتاو عمراء؟ دان كالاوڤون كيت تيدق ماهو برڤوليميك تنتڠ سياڤا لبيه بسر، تيدق بوليهكه وجود كسڤادوان انتارا علماء دان عمراء سڤرتي يڠ دسبوتكن اوليه دوكتور محمد زاينيي ايت؟ كسڤادوان اين بوليه وجود دالم كونتيك س عمراء ممينتا دان منريما نصيحت درڤد علماء دالم حال-حال يڠ بركاءيتن دڠن اڬام اڬر كمورنين اڬام اسلام ايت تتڤ ترڤليهارا. سايڠڽ، كسڤادوان انتارا علماء دان عمراء اين تيدق وجود. عمراء هاڽ مميليه فتوى-فتوى يڠ بركڤنتيڠن دمي سورۏيۏال ڤوليتيكڽ دان مڠتڤيكن فتوى يڠ دراسكن مروڬيكن سورۏيۏال ڤوليتيكڽ. دالم سستڠه كادأن، مفتي سنديري ڤولا يڠ دكوتوق دان دهنتم اڤابيلا مڠلواركن ڤنداڠن دان نصيحت يڠ تيدق سلارس دڠن سورۏيۏال ڤوليتيك مريك. ڤد زمان نبي دان ڤارا صحابة، حال سبڬيني تيدق منجادي ايسو كران علماء جوڬ يڠ منجادي عمراء. مريك ممڤوڽاءي علمو اڬام يڠ كوات دان منتڤ سرتا كوات دان منتڤ جوڬ دالم مڠنداليكن توڬس سباڬاي عمراء. مسئلهڽ ڤد ماس كيني، كيت تيدق لاڬي ممڤوڽاءي علماء يڠ سكاليڬوس بوليه منجادي عمراء والاوڤون اد سبواه ڤرتي يڠ مندعوا ممباوا "كڤيمڤينن علماء"، نامون "كعلماءان" ڤرتي ايت تيدق چوكوڤ اسلامڽ دان تيدق سجاتي ڤولا اسلامڽ. مريك مڠحلالكن ماكي-هماون، بوهوڠ دان فتنه سرتا هنتم-مڠهنتم تنڤا اخلاق دان نيلاي اسلام لڠسوڠ. جادي، بوكنكه اين سموا اداله تندا-تندا اخير زمان؟ |


0 ulasan:
Catat Ulasan