Khamis, Julai 09, 2009

PPSMI: SIRIH PULANG KE GAGANG

Persetujuan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah melegakan banyak pihak. Walaupun pemansuhan itu dilakukan secara berperingkat mulai 2012 hingga 2014, pemansuhan tersebut bagaikan “sirih pulang ke gagang”.

Pada saya, PPSMI bukan isu politik [walaupun beberapa pihak dilihat cuba mengeksploitasi isu tersebut untuk "bergelar juara"] sebaliknya ia adalah isu pedagogi dan pembelajaran anak-anak kita serta persoalan masa depan mereka.

PPSMI juga bukanlah isu bahasa sebenarnya, Pokok paling besar dalam isu PPSMI selama ini ialah soal pelajar hendak memahami ilmu sains dan matematik. Kalaulah pelajar itu lahir dan tidak mengenal sepatah haram pun bahasa Inggeris, namun apabila tiba di sekolah, mereka diajar pula dalam bahasa yang tidak pernah pun didengarinya, itu tentulah bermasalah dan itulah jurangnya dengan pelajar yang tahu. Dan sesungguhnya jurang itu bukan sedikit. Itu saja.

Walaupun Tun Dr. Mahathir selaku bekas Perdana Menteri agak kelat untuk menerima keputusan ini [kerana beliaulah yang mempelopori idea dan gagasan PPSMI] namun pada hakikatnya, buat masa sekarang dan masa-masa akan datang, PPSMI tidak sesuai dalam konteks pendidikan masyarakat di Malaysia.

Saya percaya, penolakan PPSMI ini bukan bermakna pemimpin kerajaan kini dan juga rakyat tidak lagi menghormati bekas Perdana Menteri itu, sebaliknya pemansuhan PPSMI dibuat demi maslahah yang lebih besar.

Secara wajarnya, tidak perlu pun Menteri Pelajaran perlu untuk mengadap bekas Perdana Menteri bagi memaklumkan tentang keputusan memansuhkan PPSMI yang hendak diambil, namun kerana penghormatanlah, Tun Dr. Mahathir dimaklumkan lebih dahulu akan keputusan memansuhkan PPSMI itu. Kalau begitulah penghormatan yang diberi, maka sewajarnya Tun juga menghormati “keputusan rakyat” ini.

Pada saya juga tidak wajar ada mana-mana pihak yang akan mempertikaikan keputusan ini lagi. Ini juga bukanlah keputusan yang dilihat membelakangkan bahasa Inggeris. Saya percaya semua yakin bahawa bahasa Inggeris malah bahasa-bahasa lain juga amat wajar dipelajari. Itu bukan pertikaian lagi.

Juga, saya berasa tidak juga wajar mana-mana pihak mendakwa menjuarai isu ini dengan keputusan itu memandangkan ini adalah desakan rakyat sendiri. Bagaimanapun syabas dan tahniah kepada pihak-pihak yang ke hadapan dalam isu ini terutamanya GMP, Dato’ Hassan Ahmad dan A. Samad Said [dan lain-lain] sehingga menghasilkan keputusan yang melegakan banyak pihak ini.

Bahasa Jiwa Bangsa!

VERSI TULISAN JAWI

ڤرستوجوان كراجأن ممنسوهكن ڤڠاجرن دان ڤمبلاجرن ماتماتيك دان ساءين س دالم بهاس ايڠڬريس ﴿ڤڤسمي﴾ تله ملڬاكن باڽق ڤيهق. والاوڤون ڤمنسوهن ايت دلاكوكن سچارا برڤريڠكت مولاي 2012 هيڠڬ 2014، ڤمنسوهن ترسبوت باڬايكن “سيريه ڤولڠ ك ڬاڬڠ“.

ڤد ساي، ڤڤسمي بوكن ايسو ڤوليتيك [والاوڤون ببراڤ ڤيهق دليهت چوبا مڠك سڤلويتاسي ايسو ترسبوت اونتوق "برڬلر جوارا"] سباليقڽ اي اداله ايسو ڤدڬوڬي دان ڤمبلاجرن انق-انق كيت سرتا ڤرسوالن ماس دڤن مريك.

ڤڤسمي جوڬ بوكنله ايسو بهاس سبنرڽ، ڤوكوق ڤاليڠ بسر دالم ايسو ڤڤسمي سلاما اين اياله سؤال ڤلاجر هندق ممهمي علمو ساءين س دان ماتماتيك. كالاوله ڤلاجر ايت لاهير دان تيدق مڠنل سڤاته حرام ڤون بهاس ايڠڬريس، نامون اڤابيلا تيبا د سكوله، مريك دأجر ڤولا دالم بهاس يڠ تيدق ڤرنه ڤون ددڠريڽ، ايت تنتوله برمسئله دان ايتله جورڠڽ دڠن ڤلاجر يڠ تاهو. دان سسوڠڬوهڽ جورڠ ايت بوكن سديكيت. ايت ساج.

والاوڤون تون دوكتور محضير سلاكو بكس ڤردان منتري اڬق كلات اونتوق منريما كڤوتوسن اين [كران بلياوله يڠ ممڤلوڤوري ايديا دان ڬاڬسن ڤڤسمي] نامون ڤد حقيقتڽ، بوات ماس سكارڠ دان ماس-ماس اكن داتڠ، ڤڤسمي تيدق سسواي دالم كونتيك س ڤنديديقن مشاركت د مليسيا.

ساي ڤرچاي، ڤنولاكن ڤڤسمي اين بوكن برمعنى ڤميمڤين كراجأن كيني دان جوڬ رعيت تيدق لاڬي مڠحرمتي بكس ڤردان منتري ايت، سباليقڽ ڤمنسوهن ڤڤسمي دبوات دمي مصلحه يڠ لبيه بسر.

سچارا واجرڽ، تيدق ڤرلو ڤون منتري ڤلاجرن ڤرلو اونتوق مڠادڤ بكس ڤردان منتري باڬي ممعلومكن تنتڠ كڤوتوسن ممنسوهكن ڤڤسمي يڠ هندق دأمبيل، نامون كران ڤڠحرمتنله، تون دوكتور محضير دمعلومكن لبيه دهولو اكن كڤوتوسن ممنسوهكن ڤڤسمي ايت. كالاو بڬيتوله ڤڠحرمتن يڠ دبري، مك سواجرڽ تون جوڬ مڠحرمتي “كڤوتوسن رعيت“ اين.

ڤد ساي جوڬ تيدق واجر اد مان-مان ڤيهق يڠ اكن ممڤرتيكايكن كڤوتوسن اين لاڬي. اين جوڬ بوكنله كڤوتوسن يڠ دليهت ممبلاكڠكن بهاس ايڠڬريس. ساي ڤرچاي سموا يقين بهاوا بهاس ايڠڬريس ماله بهاس-بهاس لاين جوڬ امت واجر دڤلاجري. ايت بوكن ڤرتيكايان لاڬي.

جوڬ، ساي براس تيدق جوڬ واجر مان-مان ڤيهق مندعوا منجواراا ايسو اين دڠن كڤوتوسن ايت ممندڠكن اين اداله دسقن رعيت سنديري. باڬايماناڤون شباس دان تهنيئه كڤد ڤيهق-ڤيهق يڠ ك هادڤن دالم ايسو اين تراوتماڽ ڬمڤ، داتوء' حسن احمد دان ا. صمد سعيد [دان لاين-لاين] سهيڠڬ مڠحاصيلكن كڤوتوسن يڠ ملڬاكن باڽق ڤيهق اين.

بهاس جيوا بڠسا!

4 ulasan:

Mr.KETAM berkata...

Bagus selepas ini ramai la umat ISlam yg tetap akan jadi bodoh bahasa inggeris terutamanya di pendalaman..

Dan bagus kerana bahasa tamil dan cina juga telah di martabatkan..

persoalan disini.kenapa pihak yg mengagung-agung kan bahasa malaysia tidak mendesak supaya semua sekolah tak kira kebangsaan atau jenis kebangsaan mengajar bahasa melayu,kerana ini akan memmertabatkan bahasa melayu kepada semua rakyat malaysia.

Kalau setakat nak ajar bahasa malaysia kepada rakyat melayu sahaja baik tak payah..

Bagi pendapat saya,org-org yg menentang PPSMI adalah org yg tidak memandang jauh kehadapan dan mementingkan diri sendiri.. cuba tanya Pak Samad Said dan kawan-kawan nya apakah yg telah mereka lakukan untuk memartabatkan bahasa malaysia dalam teknologi dan sains?? Jawapannya tiada!!

PPSMI bukan utk memertabatkan bahasa,ia adalah utk penguasaan ilmu sains dan teknologi.. Dan dalam bahasa inggeris sekali pun bukan bertujuaan utk mempelajari tatabahasa atau lenggok bahasa tetapi utk memahami proses dan fakta.


Sungguh sedih sekali org yg kononnya berilmu rupanya cetek pemikiran mereka.

Ini termasuk PM,TPM,semua menteri,semua pemimpin PAS dan kuncu-kuncu, semua pemimpin melayu PKR dan YANG PALING BODOH adalah PAK SAMAD SAID serta KAWAN-KAWAN nya..

wassalam

NIZAM MAT SAARI berkata...

Mr. Ketam

PPSMI bukan isu bahasa sangat. Saya telah tegaskan dalam posting saya, PPSMI ialah masalah dalam pengajaran dan pembelajaran.

Soal bahasa Melayu dimartabatkan atau tidak adalah soal kedua dan itu telah diperjuangkan oleh ramai orang dan banyak pihak, saya kira ramai yang memahami kedudukan bahasa Melayu.

Saya juga yakin tiada seorang pun termasuk Pak Samad atau GMP yang menentang pembelajaran bahasa Inggeris malah kita menggalakkan penguasaan bahasa-bahasa lain di dunia.

PPSMI ialah soal anak-anak kita secara sama rata untuk faham dan belajar sains dan matematik. Tentulah lebih baik sains dan matematik diajar dalam bahasa yang lebih mudah difahami pelajar itu sendiri. Kenapa pula hendak menyusahkan mereka?

Apa yang saudara komen ini ibarat "ketam yang mengajar anaknya berjalan betul".

weber berkata...

Sdra Nizam,

Penarikan balik PPSMI bermakna pelajar sekolah akan belajar semula matapelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa ibunda.

Tapi ramai juga yang mengatakan orang Melayu akan terus mundur dan terkebelakang jika belajar di dalam Bahasa Melayu.

Bangsa yang tidak yakin dengan kemampuan bahasanya, perlukan mereka ini menukar bangsa?

NIZAM MAT SAARI berkata...

Sdr. Weber,

Siapa yang mengatakan kita mundur ke belakang apabila belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu kalau bukan bangsa kita sendiri.

Ertinya awal-awal lagi kita telah memperbodohkan dan memomokkan kemunduran bangsa kita.

Ibn Sina, Ibn Arabi, Al-Khawarizmi dan lain-lain tokoh terkemuka dunia belajar sains dalam bahasa Arab atau bahasa ibunda mereka sendiri. Mereka sampai kini terkenal sebagai ahli sains dan matematik.

Dalam isu penentangan PPSMI ini [seperti telah berkali-kali ditegaskan] kita dan tidak ada sesiapa pun menentang supaya bahasa Inggeris jangan dipelajari.

Memansuhkan PPSMI bukan bermakna menghalang pelajar belajar bahasa Inggeris. Hendak belajar bahasa Inggeris, silakan, hendak belajar bahasa apa pun silakan. Yang diamukkan ialah mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris yang pelajar tidak faham apa pun akan bahasa itu, di peringkat sekolah rendah terutamanya. Kalau pelajar itu sejak lahirnya telah "diinggeriskan" nah belajarlah sains dan matematik dalam bahasa Inggeris itu kerana itu yang memudahkannya.

Dijemput membaca artikel saya tentang PPSMI ini di website saya http://nizammatsaari.com. Rujuk artikel bertajuk "PPSMI: Satu penolakan I & II".