Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Ahad, Julai 12, 2009

MENGGAMBARAJAHKAN GAGASAN 1 MALAYSIA

Catatan sempena WACANA KEDUDUKAN INSTITUSI BERAJA & MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DARI PERSPEKTIF 1 MALAYSIA (10 - 11 Julai 2009, PWTC)

Menulis tentang Gagasan 1 Malaysia di sini bukanlah bererti saya "penyokong Najib" secara total. Namun, Najib adalah Perdana Menteri Malaysia sekarang ini. Suka atau pun tidak, dia adalah pemimpin tertinggi negara. Sedikit banyak, apa yang dilakukannya wajar diketahui dan difahami semua orang kerana kesan dan impaknya tetap akan mengalir kepada rakyat. Sehinggalah semalam (11 Julai 2009), Najib telah mentadbir Malaysia selama 100 hari.

Apa yang bakal saya coretkan di bawah ini adalah berdasarkan kertas kerja yang dibentangkan oleh Dato' Shahlan bin Ismail, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri. Kertasnya bertajuk "Pembentukan Negara Malaysia Maju Dari Perspektif 1 Malaysia".

Apa dia 1 Malaysia ini sebenarnya?

Menurut "sec. pol"-nya itu, 1 Malaysia ialah gagasan iaitu "Gagasan 1 Malaysia" dan apabila memahami kertas kerjanya itu, ungkapan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" adalah tagline kepada "Gagasan 1 Malaysia" tersebut.

1 Malaysia ialah gagasan untuk mempupuk perpaduan. Itu adalah asas pentadbiran Najib yang mahu perpaduan menjadi teras di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan berteraskan pula beberapa nilai murni yang penting menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

Memetik dari kertas kerja Shahlan, "Perpaduan hanya boleh dicapai dengan memastikan seluruh rakyat Malaysia faham, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni, teras aspirasi dan teras perpaduan. 1 Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia".

Justeru, apabila perpaduan telah berjaya di capai maka baharulah urusan membangunkan dan memajukan negara ini akan berjalan dengan lebih lancar. 1 Malaysia sebenarnya adalah 'pemacu' kepada mempercepatkan kejayaan mencapai matlamat Wawasan 2020.

Jika hendak dirajahkan, maka Gagasan 1 Malaysia itu didukungi oleh "Teras Perpaduan" dan Teras Perpaduan itu pula didukungi oleh "Nilai-nilai Murni".

Bagi memahami Teras Perpaduan itu, beberapa nilai hendaklah dihayati iaitu penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial. Manakala Nilai-nilai Murni yang mendukungi Teras Perpaduan itu ada empat iaitu; hormat menghormati, rendah hati, kesederhanaan dan kebijaksanaan.

Daripada Gagasan 1 Malaysia, ia bergerak membentuk satu "unity" yang mengandungi Nilai-nilai Aspirasi. Ada lapan nilai-nilai aspirasi ini iaitu; budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, keberanian, meritokrasi, kesetiaan, ketabahan, integriti dan cintakan ilmu.

Kesemua nilai tersebut terkandung dalam Gagasan 1 Malaysia itulah 'pakej' yang dikatakan sebagai pemacu kepada kejayaan menuju Malaysia maju dalam pakej yang dinamakan pula sebagai Wawasan 2020.

VERSI TULISAN JAWI

چاتتن سمڤنا واچان كدودوكن اينستيتوسي براجا & ملايو دالم ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان دري ڤرسڤيكتيف 1 مليسيا ﴿10 - 11 جولاي 2009، ڤوتچ﴾

منوليس تنتڠ ڬاڬسن 1 مليسيا د سيني بوكنله برارتي ساي "ڤڽوكوڠ نجيب" سچارا توتل. نامون، نجيب اداله ڤردان منتري مليسيا سكارڠ اين. سوك اتاو ڤون تيدق، دي اداله ڤميمڤين ترتيڠڬي نڬارا. سديكيت باڽق، اڤ يڠ دلاكوكنڽ واجر دكتاهوي دان دفهمي سموا اورڠ كران كسن دان ايمڤقڽ تتڤ اكن مڠالير كڤد رعيت. سهيڠڬالاه سمالم ﴿11 جولاي 2009﴾، نجيب تله منتدبير مليسيا سلاما 100 هاري.

اڤ يڠ باكل ساي چوريتكن د باوه اين اداله برداسركن كرتس كرجا يڠ دبنتڠكن اوليه داتوءء شهلن بن اسماعيل، ستياءوسها ڤوليتيك كڤد ڤردان منتري. كرتسڽ برتاجوق "ڤمبنتوقن نڬارا مليسيا ماجو دري ڤرسڤيكتيف 1 مليسيا".

اڤ دي 1 مليسيا اين سبنرڽ؟

منوروت "سچ. ڤول"-ڽ ايت، 1 مليسيا اياله ڬاڬسن ايايت "ڬاڬسن 1 مليسيا" دان اڤابيلا ممهمي كرتس كرجڽ ايت، اوڠكاڤن "رعيت ددهولوكن، ڤنچڤاين داوتاماكن" اداله تاڬلاين كڤد "ڬاڬسن 1 مليسيا" ترسبوت.

1 مليسيا اياله ڬاڬسن اونتوق ممڤوڤوق ڤرڤادوان. ايت اداله اساس ڤينتادبيران نجيب يڠ ماهو ڤرڤادوان منجادي ترس د كالڠن رعيت مليسيا يڠ بربيلڠ قوم دان برترسكن ڤولا ببراڤ نيلاي مورني يڠ ڤنتيڠ منجادي عمالن ستياڤ رعيت مليسيا.

ممتيق دري كرتس كرجا شهلن، "ڤرڤادوان هاڽ بوليه دچاڤاي دڠن ممستيكن سلوروه رعيت مليسيا فهم، مڠحياتي دان مڠمالكن نيلاي-نيلاي مورني، ترس اسڤيرسي دان ترس ڤرڤادوان. 1 مليسيا برتوجوان مڽمارقكن سمولا سماڠت ڤرڤادوان دان ڤرسااودارأن د كالڠن رعيت مليسيا".

جوسترو، اڤابيلا ڤرڤادوان تله برجاي د چاڤاي مك بهاروله اوروسن ممباڠونكن دان مماجوكن نڬارا اين اكن برجالن دڠن لبيه لنچر. 1 مليسيا سبنرڽ اداله ءڤماچوء كڤد ممڤرچڤتكن كجايأن منچاڤأي متلامت واوسن 2020.

جك هندق دراجهكن، مك ڬاڬسن 1 مليسيا ايت ددوكوڠي اوليه "ترس ڤرڤادوان" دان ترس ڤرڤادوان ايت ڤولا ددوكوڠي اوليه "نيلاي-نيلاي مورني".

باڬي ممهمي ترس ڤرڤادوان ايت، ببراڤ نيلاي هندقله دحياتي ايايت ڤنريمأن، كنڬارأن دان كعاديلن سوسيال. مانكالا نيلاي-نيلاي مورني يڠ مندوكوڠي ترس ڤرڤادوان ايت اد امڤت ايايت; حرمت مڠحرمتي، رنده هاتي، كسدرهانان دان كبيجقسنأن.

درڤد ڬاڬسن 1 مليسيا، اي برڬرق ممبنتوق ساتو "اونيتي" يڠ مڠاندوڠي نيلاي-نيلاي اسڤيرسي. اد لاڤن نيلاي-نيلاي اسڤيرسي اين ايايت; بوديا برڤريستاسي تيڠڬي، بوديا كتڤتن، كبرانيان، مريتوكراسي، كستياان، كتاباهن، اينتڬريتي دان چينتاكن علمو.

كسموا نيلاي ترسبوت تركندوڠ دالم ڬاڬسن 1 مليسيا ايتله ءڤاكيجء يڠ دكاتاكن سباڬاي ڤماچو كڤد كجايأن منوجو مليسيا ماجو دالم ڤاكيج يڠ ديناماكن ڤولا سباڬاي واوسن 2020.

0 ulasan: